sej

Wednesday, June 25, 2014

Persekutuan Tanah Melayu

Malayan Union secara langsung telah membuka jalan kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan rasminya bagi menggantikan Malayan Union pada 1 Februari 1948.  Perjanjian ini penting kerana ia bukan sahaja memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah persekutuan buat pertama kali. Perlembagaan ini juga menjadi asas kepada perlembagaan Tanah Melayu sewaktu hendak mencapai kemerdekaan. Setelah mendapat persetujuan Raja Inggeris, perjanjian persekutuan itu telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu. 
Menurut peraturan-peraturan baru di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Kerajaan Persekutuan terdiri daripada seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh kerajaan British, sebuah Majlis Perundangan Persekutuan yang mengandungi 75 orang ahli dan sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan. Ketua Persekutuan ialah Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Perundangan Persekutuan. Pesuruhjaya Tinggi mempunyai kuasa mutlak bagi memelihara hak istimewa orang-orang melayu dan kepentingan kaum-kaum lain.
Sebuah Majlis Raja-raja  telah ditubuhkan untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi. Dalam masa yang sama, Raja-raja Melayu kekal sebagai pemerintah di negeri-negeri masing-masing. Sebuah Majlis Negeri telah ditubuhkan di setiap negeri dan Majlis Mesyuarat Negeri ini akan dipengerusikan oleh Sultan. Manakala Rang Undang-undang yang telah diluluskan oleh Majlis Negeri pula mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja Melayu. Majlis Negeri juga diberi kuasa meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan adat istiadat Melayu.
Negeri-negeri melayu akan ditadbir oleh seorang ketua pentadbir yang bergelar Menteri Besar. Beliau akan dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan jawatan ini dikhaskan hanya untuk orang melayu. Pembahagian juga berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan kedua-duanya mempunyai bidang tugas yang berbeza. Kerajaan Persekutuan mengendalikan hal ehwal kewangan, kehakiman, perdagangan, pertahanan dan luar negeri. Kerajaan Negeri pula akan mengendalikan Kerajaan Tempatan, hal ehwal agama, tanah, pertanian dan pendidikan.
Syarat-syarat kerakyatan juga diperketatkan. Pemohon kerakyatan mesti mengangkat sumpah mengaku taat setia, berkelakuan baik, dan berupaya bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan fasih. Selain itu, antara syarat lain untuk mendapatkan kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu ialah lahir di Tanah Melayu dan menetap sekurang-kurangnya lapan tahun daripada 12 tahun sebelum permohonan atau seseorang yang berhijrah ke Tanah Melayu dan tinggal sekurang-kurangnya 15 tahun daripada tempoh 20 tahun  sebelum permohonan. Kerakyatan menerusi prinsip “Jus Soli” digugurkan sama sekali.
Sementara itu, orang melayu diakui sebagai penduduk asal Tanah Melayu dengan kedudukan istimewa dalam empat perkara iaitu keistimewaan dalam bidang politik dan jawatan dalam Perkhidmatan Awam, keistimewaan dalam biasiswa dan pelajaran, keistimewaan mengenai Tanah Simpanan Melayu dan keistimewaan dalam pemberian lesen untuk menjalankan perniagaan tertentu. Peruntukan perlembagaan yang begini adalah dianggap perlu kerana kedudukan orang melayu yang dalam keadaan bahaya dan jauh ketinggalan dalam semua bidang terutamanya dalam bidang ekonomi. Jadi satu-satunya yang masih ada dan perlu dikekalkan ialah kekuasaan politik untuk menjamin hak dan kedudukannya.
Oleh kerana syarat-syarat perlembagaan itulah yang menyebabkan orang-orang melayu menerima dan menyokong pembentukan Persekutuan Tanah  Melayu. Dalam hal ini kita dapat melihat bahawa meskipun British gagal menjadikan Tanah Melayu sebagai Tanah Jajahan di bawah Malayan Union, tetapi British berjaya menyatukan Sembilan buah Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat di bawah satu unit pentadbiran. Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari Negeri-negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang (Negeri Selat). Manakala Singapura pula menjadi tanah jajahan yang berasingan.


No comments:

Post a Comment