sej

Wednesday, June 25, 2014

Penentangan terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tidak memuaskan hati sebahagian besar rakyat Tanah Melayu. Beberapa buah pertubuhan seperti Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah menetang Perlembagaan Persekutuan ini. Bantahan ini  juga dilakukan oleh parti-parti berhaluan kiri, kaum bukan melayu dan golongan progresif revolusiner. Golongan yang menentang ini mendakwa bahawa perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu hanya memperuntukkan kepentingan bagi orang-orang Melayu sahaja.
Selain itu, mereka juga merasa tidak puas hati kerana tidak dibawa berbincang ketika merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Tiada wakil daripada orang bukan melayu dalam Jawatankuasa yang menggubal Perlembagaan tersebut. Justeru itu, golongan parti berhaluan kiri dan orang-orang bukan melayu merasakan bahawa Perlembagaan itu bersifat “berat sebelah” dan tidak mewakili semua kaum di Tanah Melayu.
Oleh itu AMCJA telah menuntut supaya Perlembagaan tersebut dibatalkan. Sebaliknya, mereka membuat usul baru bagi Tanah Melayu. Salah satu usul ini ialah memasukkan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, mereka juga mahukan kuasa-kuasa kerajaan British di Tanah Melayu dikurangkan. Mereka juga mahu hak kewarganegaraan sama rata bagi semua kaum yang menjadikan Tanah Melayu tempat bermastautin dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi.
Tetapi cadangan dan usul ini tidak diambil kira oleh British kerana British beranggapan bahawa perjuangan mereka itu terlalu radikal. Oleh itu AMCJA telah bertindak balas dengan melakukan pelbagai penentangan. Antaranya ialah menulis surat untuk akhbar-akkbar seperti Neraca dan Warta Malaya serta mengadakan tunjuk perasaan di Pulau Pinang, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Singapura dan Kedah.
PKMM akhirnya menyertai AMCJA dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang terdiri daripada nukleus-nukleus PKMM iaitu API, AWAS, HIZBUL, GERAM dan 80 buah kesatuan kecil yang lain. PUTERA ditubuhkan pada Februari 1947. Antara matlamat dan tuntutan PUTERA ialah bahasa Melayu menjadi bahasa Rasmi Negara,  Hal ehwal luar negeri dan pertahanan negara harus menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Tanah Melayu dan Kerajaan British, warna-warna bendera kebangsaan harus menerapkan warna-warna kebangsaan Melayu, iaitu merah dan putih (Indonesia), istilah Melayu haruslah menjadi gelaran sebarang kewarganegaraan atau taraf nasional di Tanah Melayu.
 AMCJA dan PUTERA telah bersetuju untuk menggabungkan cadangan masing-masing dan membentuk perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Rakyat. Namun begitu, British telah menolak Perlembagaan ini kerana bertentangan dengan dasar British yang mahu meneruskan penguasaannya terhadap Tanah Melayu. British juga tidak yakin akan kerjasama di antara AMCJA dan PUTERA.
Kesannya, pada Ogos 1948, Tan Cheng Lok yang merupakan Pengerusi AMCJA telah menganjurkan perjumpaan besar di Dewan Perniagaan Cina, kesatuan-kesatuan Sekerja dan lain-lain untuk menunjukkan protes dan bantahan terhadap British serta menganjurkan satu Hartal (penutupan semua kedai) di seluruh Tanah Melayu. Hartal ini telah Berjaya dilancarkan namun gagal untuk mempengaruhi Brtish sebaliknya dianggap sebagai perbuatan subversif. British tetap meneruskan Persekutuan tanah Melayu dengan satu-satunya parti yang menyokongnya iaitu UMNO.


9 comments: