sej

Sunday, December 16, 2012

Kejatuhan Jepun Sebagai Kuasa Tentera di Timur


Selepas kekalahan Jerman yang menjadi sekutu Jepun di Eropah pada tahun 1944, kekuatan Jepun semakin terancam. Hal ini telah memberi peluang kepada Amerika Syarikat dan Britain untuk menumpuhkan perhatian semula ke Asia Tenggara. Tentera Amerika Syarikat akhirnya melancarkan serangan terhadap pentadbiran Jepun di Filipina dan berjaya menawan kembali Filipina pada bulan Mac 1945. Seterusnya pihak Amerika Syarikat telah melancarkan serangan terhadap Jepun dengan pengeboman secara besar-besaran dan hampir 60 buah Bandar besar di Jepun dimusnahkan. Pada pagi 6 Ogos 1945, sebuah kapal terbang Superfortress Amerika Syarikat mengggurkan bom atom yang pertama di Hiroshima dan diikuti oleh bom atom kedua di Nagasaki pada 9 Oktober 1945.
 Akhirnya, Jepun terpaksa menyerah kalah dan keputusan itu diumumkan sendiri oleh Maharaja Hirohito pada bulan Ogos 1945. Pengisytiharan menyerah diri secara rasmi ditandatangani di hadapan Panglima Agung Kuasa Berikat, Jeneral Doughlas Mac Arthur di atas sebuah kapal perang Amerika Syarikat bernama Missouri pada 2 Sepetember 1945.


Saturday, December 15, 2012

Gerakan Penentangan Jepun di Tanah Melayu



Orang-orang cina yang sememangya telah diberikan layanan yang buruk telah bangkit untuk menentang Jepun. Akibat daripada tekanan Jepun, beribu-ribu orang cina telah melarikan diri ke pinggir-pinggir hutan. Mereka telah mendirikan petempatan sendiri dan menghasilkan makanan sendiri. Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengambil peluang ini untuk mempengaruhi orang-orang cina untuk menentang pihak Jepun dalam satu pertubuhan yang dikenali sebagai Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Penentangan ini telah memberikan dua kesan yang amat penting iaitu memperlihatkan kemunculan satu bentuk tindak balas secara kekerasan terhadapa pentadbiran Jepun serta memberi ruang kepada PKM menyebarkan fahaman komunisme dalam kalangan orang cina.
MPAJA mengandungi lapan rejimen dengan diketuai oleh seorang komander dan beroperasi mengikut kawasan-kawasan tertentu. Setiap rejimen pula dibahagikan kepada beberapa unit kecil di kem-kem yang tersorok di hutan dan bergerak dengan menguasai kawasan-kawasan hutan dan kampung-kampung terpencil. Pasukan  MPAJA menggunakan taktik perang gerila kerana mereka tidak mempunyai bilangan tentera yang ramai. Jepun telah mengambil pendirian tegas dalam memerangi pengaruh komunis. Perisik-perisik Jepun telah menangkap sesiapa sahaja yang terlibat dalam kegiatan komunis terutamanya orang cina. Antara kejayaan terbesar Jepun memerangi MPAJA dan PKM ialah peristiwa serangan hendap di Batu Caves pada 1 September 1942. Dalam serangan itu, hampir kesemua 22 orang ahli jawatankuasa pusat PKM berjaya dibunuh oleh pihak Jepun.
 Selain daripada penentangan komunis dan orang-orang cina, Jepun juga ditentang oleh pasukan Force 136 yang kebanyakannya terdiri daripada orang melayu. Force 136 ialah nama kod yang diberikan kepada satu pertubuhan khas gerakan bawah tanah berpusat di Ceylon dan India. Pasukan ini juga melancarkan taktik perang gerila dan telah membuat dua percubaan awal untuk mendarat di Tanah Melayu tetapi gagal. Pasukan ini dibubarkan pada akhir tahun 1945. 

Monday, December 10, 2012

Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu


Setelah mengusai Tanah Melayu, Jepun telah mentadbir Tanah Melayu dengan sistem pemerintahan yang bercirikan sistem ketenteraan yang berpusat di Singapura. Pentadbiran tentera berada di bawah tanggungjawab Mejar General Manaki Keishi dan urusan pentadbirannya dilakukan oleh Kolonel Watanabe Wataru. Satu pentadbiran pusat ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Presiden (Gunseikan) yang bertanggungjawab kepada Ketua Kepala Agung Tentera, Kawasan Ketujuh di Singapura. Tanah Melayu dan Singapura disatukan dalam satu unit politik. Pada waktu itu Jepun telah menukar nama Singapura kepada Syonan yang bermaksud Cahaya Selatan dan Tanah Melayu sebagai Malai Baru dan dibahagikan kepada lapan wilayah dengan diketuai oleh seorang Gabenor Jepun (Syuchokan) yang bertanggungjawab kepada pentadbiran pusat di Singapura.
Gabenor Jepun akan dibantu oleh Majlis Wilaya (Penasihat) yang bertujuan untuk menggantikan Majlis Mesyuarat Negeri. Sebilangan kecil orang melayu menganggotai Majlis ini dan sebilangan besar adalah Jepun sendiri. Penguasaan kerajaan Jepun dalam sistem pentadbiran di Tanah Melayu diperkuatkan dengan kehadiran  ketua-ketua tentera dan awam dalam semua jabatan kerajaan. Namun begitu, kakitangan dalam kalangan penduduk tempatan dikekalkan. Pentadbiran Tanah Melayu dibahagikan kepada tiga bahagian. Negeri-negeri utara dan pantai timur iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dipisahkan dan diserahkan kepada kerajaan Siam pada bulan Ogos 1943. Manakala negeri Perak, Selangor, dan Negeri Sembilan pada mulanya disatukan dalam satu unit pentadbiran tetapi kemudiannya telah dipisahkan pentadbiran kedua-dua wilayah ini pada bulan April 1943. Sementara  Melaka dan Pulau Pinang disatukan dengan Singapura yang bertanggungjawab secara langsung kepada kerajaan Jepun di Tokyo.
Tujuan Jepun memisah-misahkan pentadbiran negeri-negeri melayu adalah disebabkan kebimbangan Jepun terhadap penyatuan tenaga dan membentuk satu pasukan menentang Jepun. Jepun juga membahagikan daerah kepada beberapa kawasan kecil yang terdiri daripada unit-unit kampung, jiran tetangga dan keluarga untuk memudahkan pentadbiran. Setiap keluarga diwajibkan untuk didaftarkan dan diberi sekeping sijil yang dikenali sebagai “Sijil Kehidupan dan Keamanan”. Pindaan dilakukan jika berlaku kelahiran, kematian ataupun perkahwinan. Jepun juga mengekalkan pentadbiran yang diamalkan oleh Britsh secara tidak langsung. Namun begitu, Jepun mengamalkan dasar memusuhi Cina dan India pula digalakkan melibatkan diri dalam gerakan menuntut kemerdekaan.

7.1 Layanan Terhadap Orang Melayu
Pada bulan Ogos 1942, kerajaan Jepun di Tokyo mengeluarkan arahan supaya pemerintahan Jepun di Tanah Melayu supaya berhati-hati melayani raja-raja melayu. Pada bulan Januari 1943, Jepun telah mengadakan satu persidangan yang dihadiri oleh kesemua raja-raja dari Tanah Melayu dan Sumatera di Singapura. Jepun mengumumkan keputusannya untuk mengikitraf kuasa dan kedudukan raja-raja Melayu. Elaun mereka juga dibayar dan dibenarkan menyimpan harta. Dalam hal ini, Jepun beranggapan bahawa orang melayu tidak akan bangkit menentang Jepun sekiranya raja-raja mereka diberikan layanan yang baik. Jepun juga meraih sokongan orang-orang melayu dari segi agama. Pada bulan Disember 1944, Jepun telah menganjurkan satu Persidangan Majlis Agung Agam Islam di Tanah Melayu- Sumatera di Singapura. Namu begitu, Jepun tetap menolak cadangan untuk menubuhkan sebuah Majlis Orang Islam (Muslim Council) bagi mengelakkan penentangan. Namun, Jepun bersetuju untuk menubuhkan Majlis Agama di peringkat negeri.
7.2 Layanan Terhadap Orang Cina
Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu telah mengamalkan dasar anti-cina dan menganggap orang cina sebagai musuh tradisi. Hasilnya, Jepun telah memberikan layanan yang buruk kepada orang-orang cina di Tanah Melayu. Pembunuhan dan keganasan terhadap orang cina berlaku hampir setiap hari. Jika ada orang cina yang menentang Jepun akan dikenakan hukuman yang teruk seperti pancung atau diseksa dan harta benda dirampas. Selain itu, Jepun  juga turut mengadakan operasi sapu bersih bagi menangkap orang-orang cina yang melakukan penentangan terhadap Jepun. Operasi itu dikenali sebagai “ Operasi Sook Ching” (perintah berkurung). Manakala golongan sasarannya pula ialah penyokong Kuomintong dan Komunis yang aktif, mereka yang menyertai pasukan sukarela dan masih belum menyerah diri, orang cina yang bergiat dalam Tabung Menyelamatkan Negara China dan hartawan cina yangt memberikan sumbangan kepada tabung tersebut, ahli-ahli kongsi gelap dan orang-orang cina yang datang ke Tanah Melayu selepas Perang China-Jepun 1937.
 Orang cina juga dipaksa membayar cukai kepala, dihalang untuk menghantar balik wang ke China dan dikenakan sekatan keluar rumah di kawasan yang disyaki terdapat sarang komunis. Lebih malang lagi, orang cina dipaksa untuk menderma sebanyak $50 juta kepada pemerintah Jepun.  Jepun menetapkan derma tersebut harus diserahkan pada 20 April 1942. Bagi mengumpul jumlah tersebut, tauke lombong akan melakukan apa sahaja termasuk menjual harta benda mereka dengan murah. Walaubagai manapun, dasar keras Jepun terhdap orang cina telah berkurangan menjelang tahun 1943. Tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan kerjasama orang cina dan terutamanya dari segi ekonomi dan mengurangkan sokongan mereka terhadap pihak komunis dan MPAJA. Permusuhan antara Jepun dan orang-orang cina ini sebenarnya merupakan lanjutan daripada pergolakan yang berlaku di China dan Jepun sehingga meletusnya Perang China-Jepun 1937.
7.3 Sistem Ekonomi Jepun
Jepun telah memperkenalkan sistem ekonomi terkawal di Tanah Melayu. Melalui sistem ini, Jepun  tidak membenarkan kegiatan perdagangan dijalankan sama ada mengeksport barangan ke Eropah atau Amerika Syarikat dan membeli barangan dari luar. Maka dengan itu, Jepun telah menggalakkan pertumbuhan industri tempatan bagi memenuhi permintaan dalam negeri. Dalam industri tempatan ini, hampir kesemua barangan yang dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan kerana  Jepun dalam pentadbirannya tidak membenarkan import barangan atau bahan mentah daripada luar Negara. Industri yang dijalankan hanya dalam bentuk kecil-kecilan sahaja seperti makanan, minyak jentera, pengangkutan, perubatan, pakaian ,rokok, arak, sabun dan barangan keperluan tentera.
 Pemerintahan Jepun juga mengamalkan dasar monopoli dengan menguasai perusahaan penting dalam negeri menerusi beberapa buah syarikat yang dimilikinya. Selain itu, Jepun turut merampas semua kegiatan ekonomi yang dimiliki oleh orang cina dan Eropah seperti perusahaan perlombongan, perdagangan, pengangkutan dan bank perdagangan. Ladang kelapa sawit dan kelapa pula dikuasai oleh kumpulan Mitsui. Perusahaan getah pada waktu itu pula tidak berkembang kerana kegiatan eksport tidak dijalankan dan ditebang untuk penananman tanaman yang menghasilkan makanan. Beras yang menjadi makanan penduduk Tanah Melayu pula dikawal oleh Mitsui Shoji Kaisha manakala gula dan garam pula dikawal oleh Mitsui Bussan Kabushiki Kaisha.  Halangan dan sekatan mengeksport bahan mentah menyebabkan bukan sahaja dua perusahaan penting di Tanah Melayu iaitu getah dan bijih timah terbiar tanpa diusahakan tetapi keadaan ekonomi Negara juga turut merosot.

Tuesday, December 4, 2012

Faktor Kejayaan Jepun Menakluki Tanah Melayu


6.1 Perang Dunia Kedua
Kejayaan Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dalam tempoh 70 hari sahaja didorong oleh pelbagai faktor. Perang Dunia Kedua yang meletus di Eropah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan pihak Jepun tersebut. Pihak British bukan tidak menyedari kemungkinan bahawa pihak Jepun akan menyerang Tanah Melayu tetapi lebih menumpukan perhatian kepada peperangan yang meletus di Eropah lebih mendesak.  Pihak Britain yang mempunyai tanah jajahan di Afrika dan Asia telah diminta untuk membantu Rusia, Perancis dan Belanda apabila keadaan semakin terdesak. Hal ini menyebakan tanah jajahan di Asia Tenggara terutamanya Tanah Melayu terbiar dan membuka peluang kepada Jepun untuk menyerangnya. Pihak British juga tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Tanah Melayu. Pertahanan di Timur telah diserahkan kepada Amerika Syarikat yang berpengkalan di Pearl Habour, Hawaii. Kesan daripada pengeboman Jepun di Pearl Habour telah melumpuhkan terus pertahanan di Timur.
6.2 Sikap Pihak Barat
Selain itu, sikap pihak barat yang memandang rendah terhadap kemampuan Jepun menjadi salah satu faktor kejayaan Jepun.  Pihak British cukup yakin dengan kemampuan tentera laut dan udara mereka yang dianggap bahawa ianya boleh menandingi kekuatan tentera Jepun dengan mudah. Pihak British juga cukup yakin dengan adanya kedua-dua kapal perang mereka. Akibatnya apabila pihak Jepun dengan mudah menenggelamkan kapal-kapal tersebut, ianya telah mengaibkan British yang terkenal sebagai kuasa laut pada Perang Dunia Pertama.
6.3 Persediaan dan Perancangan Jepun
 Persediaan dan perancangan Jepun yang teratur juga menjadi pemangkin kepada kejayaan ini. Penubuhan unit Perisikan Khas berjaya mendapatkan maklumat kekuatan tentera Britsh di Tanah Melayu dan memudahkan pihak Jepun untuk merancang strategi. Selain perisik tempatan, Jepun juga menghantar orang Jepun sendiri ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk menjalankan pengintipan. Mereka telah menyamar dengan menjalankan pelbagai jenis pekerjaan seperti membuka kedai tukang gambar, kedai ikan peliharaan dan keda gula-gula. Mereka mengambil gambar bangunan, jalan raya, jambatan, mengkaji sungai-sungai dan jalan di dalam hutan dengan alasan untk mencari ikan untuk jualan. Semua maklumat ini digunakan oleh tentera Jepun untuk mengkaji kedudukan pertahanan Tanah Melayu sebelum memulakan serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu  British, landasan kapal terbang dan lokasi kem tentera telah diperoleh terlebih dahulu. Hal ini memudahkan serangan Jepun ke Tanah Melayu.
6.4 Penyebaran Dakyah anti-British
          Selain itu, Jepun juga, melalui Doro Nawa telah berjaya menyebarkan dakyah anti-British dalam kalangan askar-askar India yang berkhidmat dengan pasukan British di Tanah Melayu untuk meninggalkan perkhidmatan mereka. Jepun telah berjaya menarik orang India yang berkhidmat dengan  British untuk bekerjasama dengan Jepun. Seorang nasionalis radikal India, Subhas Chandara Bose telah datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai Indian National Army (INA) untuk membantu Jepun. Jepun juga berjanji untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Pihak Jepun juga berjaya mempengaruhi penduduk tempatan seperti golongan nasionalis radikal daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawa pimpinan Ibrahim Hj. Yaakob. Hal ini memudahkan penguasan Jepun di Tanah Melayu berjalan dengan lancar.
6.5 Kelengkapan Senjata Perang Jepun
Salah satu faktor juga ialah kelengkapan senjata pihak Jepun. Tentera Jepun telah memperkuatkan serangannya dengan mengadunkan kekuatan baik dari segi laut, udara mahupun darat. Angkatan udara Jepun telah mengambil kira jarak dan sasaran, dari pengkalan-pengkalan baru mereka di Indo-China seterusnya telah menggunakan kapal terbang pejuang yang dianggap lebih moden daripada pihak British. Pesawat pejuang ini juga memberikan perlindungan kepada pesawat pengebom untuk memusnahkan instalasi penting British termasuk yang berada di pedalaman. Begitu juga dengan bantuan perlindungan rapat kepada pesawat-pesawat pengangkut dan logistik. Mereka juga dibantu dengan tembakan meriam daripada kapal-kapal pemusnah Jepun yang berlabuh dekat pantai untuk melemahkan pertahanan utama British di sekitar landasan kapal terbang Pengkalan Chepa. Secara kesuruhannya, kekuatan tentera Jepun diperkuat sepenuhnya dengan persenjataan, kelengkapan, bekalan peluru, makanan dan ubat-ubatan.
 6.6 Kelemahan Tentera British
Kelemahan tentera British dan kekurangan kelengkapan senjata perang juga menjadi faktor kekalahan British di tangan Jepun. Pasukan tentera British yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura kurang terlatih dan berpengalaman. Mereka juga bukan berasal dari kalangan satu bangsa atau terdiri daripada orang tempatan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendorong mereka untuk berperang bersungguh-sungguh. Kelewatan tentera bantuan dari London dan India juga merumitkan lagi keadaan. Kelewatan ini berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan British.
 Kekurangan kelengkapan senjata perang juga memudahkan Jepun untuk menewaskan British. Pihak British hanya bergantung kepada dua buah kapal perangnya iaitu kapal Prince of Wales dan Repulse untuk menjaga peraiaran Tanah Melayu. Apabila pihak Jepun berjaya menenggelamkan kedua-dua kapal tersebut, tentera Jepun mengusai sepenuhnya kawalan sekitar perairan Tanah Melayu. Keadaan di pengkalan laut juga tidak memuaskan. Pengkalan laut di Singapura hanya disiapkan pada tahun 1938 dan tidak digunakan sepenuhnya kerana tidak ada kapal laut yang dihantar oleh kerajaan British. Dari segi pertahanan udara, ruang angkasa Tanah Melayu dikawal oleh beberapa ratus pesawat udara sahaja dan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan kemampuan kapal terbang Jepun. Kekuatan pertahanan British juga hanya bergantung kepada tiga pasukan tentera iaitu Pasukan ke-8, Pasukan ke-9  (Australia) dan Pasukan ke-11 (India) dengan jumlah tentera seramai 89 000 orang berbanding dengan tentera Jepun seramai 150 000 orang.
Pihak British juga kalah di tangan Jepun disebabkan mereka kurang bersedia. Pihak British menyangka Jepun akan  memulakan serangan dari arah selatan  (Singapura) kerana pusat pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara (Kelantan) dan menakluk negeri-negeri Melayu satu demi satu. Oleh itu,semasa serangan Jepun, semua meriam dan senapang telah dihalakan ke laut. Kemaraan Jepun dari utara sememangnya di luar jangkaan British.
6.7 Semangat Juang yang Tinggi
Faktor yang tidak kurang pentingnya juga ialah unsur moral dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan tentera Jepun. Pihak Jepun bukan sahaja memiliki kekuatan dari segi bilangan tetapi mereka sangat terlatih dan mempunyai semangat juang dan disiplin yang tinggi. Tentera Jepun di samping bermoral tinggi dan bersemangat juga menganggap perjuangan mereka itu adalah perjuangan suci bagi Negara dan Maharaja.

Wednesday, November 28, 2012

Serangan Jepun ke Atas Tanah Melayu


Serangan Jepun ke Tanah Melayu dilancarkan serentak dengan serangan ke atas Pearl Harbour. Serangan ini diketuai oleh Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki selaku pemerintah pasukan tentera ke-25, Sosako Suzuki sebagai pembantu kanannya dan Timbalan Laksamana Jisaburo Ozawa sebagai pemerintah operasi laut. Bagi memastikan serangan ke Tanah Melayu mencapai kejayaan, Jepun telah membahagi-bahagikan tenteranya kepada beberapa Divisyen. Organisasi yang diatur adalah berkonsepkan “The Square Divisyen” yang mana setiap Divisyen mempunyai dua Briged. Sementara setiap Briged mempunyai dua Rejimen yang dikenali sebagai  Kumpulan Infantri (Infantry Group). Setiap Rejimen pula akan disokong oleh sebuah Batalion Infantri dan satu unit Jurutera yang berkuatan satu Kompeni.  Pasukan tentera ke-25 mempunyai tiga Divisyen infantry iaitu Divisyen ke-5, Divisyen ke-18 dan Divisyen Pengawal Imperial yang mengandungi 50,000 orang, kereta kebal sederhana 80 buah, kereta kebal kecil 100 buah dan sebuah pasukan meriam yang kuat. Divisyen ke-4 diletakkan sebagai pasukan simpanan dan dianggarkan memiliki 80,000 ribu askar penggempur.
Pasukan udaranya pula memiliki 450 buah kapal terbang dan tentera laut mempunyai dua buah kapal terbang tentera laut (Mohammad Isa Othman,1992). Pesawat udara yang digunakan adalah dari jenis Mistsubishi Type O, yang dikenali sebagai Zero atau Zeke. Pesawat ini mempunyai kelajuan 351 batu sejam dan boleh mencapai had ketinggian 33, 000 ribu kaki. Pesawat pengebom pula digelar “ The Val, The Kate dan The Betty”. Manakala bagi tujuan pengintipan, pesawat jenis Reconniessaince 100 Type digunakan. Bagi tentera laut, Jepun memiliki berkaliber 14 inci dan 18 inci sementara kapal yang dinamakan “Marus” digunakan sebagai kapal pengangkutan. Jepun juga menubuhkan pasukan “Mountain Unit” iaitu pasukan yang berkemahiran dalam teknik-teknik mendaki gunung serte melincur ais. Perlatan khusus termasuk artileri ringan dibekalkan bagi kumpulan ini untuk membantu dalam operasi di kawasan pergunungan.  Selain itu, sebuah unit penggempur khas ditubuhkan yang dinamakan “ Takko Unit”. Unit ini berfungsi sebagai kumpulan penggempur dan bersedia untuk semua tugas ofensif. Kumpulan ini juga boleh dikatakan sebagai kumpulan berani mati kerana mempunyai daya juang yang tinggi dan bersedia untuk membunuh diri jika keadaan terdesak.
 Serangan ke atas Tanah Melayu dilakukan dari tiga arah iaitu di Pattani, Siam dan Kota Bahru. Divisyen ke-5 di bawa pimpinan Leftenan Jeneral Takoro Matsui diarah untuk mendarat di Songkhla dan Pattani. Pasukan ini kemudiannya akan mara ke Kedah dan Perlis serta ke selatan dengan memasuki negeri-negeri di pantai barat iaitu Perak, Selangor , Negeri Sembilan,Johor dan akhirnya ke Singapura. Divisyen Pengawal Imperial yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Takuma Noshimura juga mendarat di Siam. Pasukan ini diarah menyusul dari belakang Divisyen ke-5 sebagai pasukan simpanan dan bergabung dengan Divisyen ke-5 di Perak, sebelum mara ke selatan. Divisyen ke-18 di bawa pimpinan Leftenan Jeneral Mtaguchi akan mendarat di Kota Bahru, Kelantan dan kemudiaanya bergerak ke Terengganu, Pahang, Johor dan akhirnya Singapura (Mohamad Isa Othman,1992). Serangan jepun ke Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan Divisyen ke-18 di Kota Bahru, Kelantan. Pendaratan pertama dilakukan pada jam 12.25 pagi melalui muara sungai Pengkalan Chepa( Kuala Pak Amat) oleh Kompeni ke-11, Rejimen 56.  Pegawai Pemerintah British di Tanah Melayu telah mengkhabarkan berita pendaratan tentera Jepun di Kota Bahru kepada Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Shenton Thomas kira-kira satu setengah jam kemudian (1.55 pagi).
Divisyen ke-5 tentera Jepun  juga mendarat di Singora (Songkhla) pada hari yang sama. Pasukan ini diarah mara ke selatan dengan menggunakan dua jalan iaitu dari Singora ke Alor Star dan dari Pattani ke Kroh. Selepas mendarat di utara dan pantai timur, tentera Jepun telah mara ke selatan sehingga ke johor Bahru tanpa menghadapi tentangan daripada tentera Pihak Berikat. Pada 8 Februari 1942, tentera Jepun telah mendarat di Singapura pada kira-kira jam 8.45 malam. Namun begitu, serangan tentera Jepun ini telah mendapat tentangan daripada barisan pertahanan Briged Infantri India ke-44 dab Briged Australia ke-2. Menjelang awal pagi pada 15 Februari 1942, seluruh Tanah Melayu  termasuk Singapura telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun. Leftenan Genaral Athur Ernest Percival memutuskan untuk menyerah diri secara rasmi kepada Pemerintah Tentera Jepun iaitu Lefenan Jeneral Tomoyuki Yamashita bersama-sama dengan 60,000 orang tentera British yang masih lagi tinggal pada jam 7.50 malam bertempat di Ford Plant, Bukit Timah, Singapura. Penyerahan diri ini menunjukkan bahawa bermulanya pemerintahan Jepun ke atas Tanah Melayu. Jelas bahawa hanya dalam tempoh 70 hari sahaja, tentera Jepun telah berjaya menguasai Tanah Melayu.

Tuesday, November 27, 2012

Latar Belakang Pendudukan Jepun di Tanah Melayu


Pada mulanya, Jepun merupakan sebuah Negara yang mengamalkan dasar Isolasi sehinggalah pada abad ke-18. Namun demikian, setelah kedatangan  Commodare Matthew C. Perry dari Amerika syarikat pada tahun 1853, Jepun mulai mengadakan hubungan luar dengan kuasa barat.  Hal ini telah membuka peluang kepada kuasa-kuasa barat yang lain seperti British, Perancis dan Belanda datang ke Jepun sekaligus menyebabkan Jepun mengubah dasarnya daripada dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka. Menurut Tarling (2001), Jepun merupakan sebuah Negara yang mempunyai penduduk yang ramai manakala kawasan tanahnya pula kurang sesuai untuk aktiviti pertanian. Hal ini menyebabkan Jepun menjadikan negaranya daripada Negara pertanian kepada Negara perindustrian.  Maka Jepun terpaksa memperoleh bahan mentah dan pasaran bagi bahan yang dihasilkan. Oleh itu, Jepun telah memperbesarkan angkatan tenteranya untuk memastikan dasar perluasan kuasanya dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada akhir abad ke-19, Rusia telah menjadi kuasa besar yang menjadi saingan kepada Jepun. Persaingan ini adalah disebabkan oleh perebutan dua wilyah iaitu Manchuria dan Korea. Pada waktu itu, kedua-dua wilayah ini berada dalam kawasan wilayah Negara China tetapi Negara China tidak dapat menentang kuasa Jepun dan Rusia kerana kedudukannya yang lemah akibat pemberontakan dalam negeri.  Dalam peperangan China-Jepun, Jepun telah berjaya mengusir kekuasaan China di Korea. Malah Jepun juga berjaya  menguasai Taiwan, kepulauan Pescardores dan menamatkan kedaulatan China di Manchuria.  Jepun juga berjaya menamatkan ancaman Rusia di Manchuria pada tahun 1904-05. Machuria sangat penting kepada Jepun pada waktu itu sebagai sumber ekonomi. Golongan nasionalis di China telah menubuhkan sebuah parti bersatu bagi menentang pencerobohan Jepun di kawasan takluknya. Hal ini mencemaskan Jepun lalu bertindak menyerang  China terlebih dahulu.
 Pada bulan  November 1935,  Jepun memaksa lima buah wilayah di utara China menubuhkan pemerintahan autonomi di bawah kawalan Jepun. Dasar perluasan kuasa Jepun ini telah menyebabkan hubungan antara Jepun dan British semakin meruncing. Pada tahun 1936, Jepun membuat pakatan dengan Jerman dibawa Hilter dan Itali dibawa Mussolini. Kedudukan Britain yang semakin lemah membuka peluang untuk Jepun untuk meluaskan pengaruhnya di kawasan selatan China tanpa halangan daripada mana-mana kuasa barat. Ini melibatkan pengusaan Jepun terhadap Canton, Pulau Hianan dan Kepulauan Sinnan.
Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, Jepun mengambil kesempatan untuk meneruskan dasar perluasan kuasannya  di Asia. Pada bulan September 1940, Jepun telah Berjaya menguasai bahagia utara Indo-china Perancis. Hal ini telah membimbangkan Amerika Syarikat. Oleh itu persidangan Washington pada 1921 telah diadakan. Persidangan ini telah menghadkan kuasa angkatan laut Jepun dengan kadar tiga bagi Jepun dan lima bagi Amerika Syarikat dan Britain. Tapi ketetapan ini tidak melemahkan Jepun. Seterusnya mendorong kepada Amerika Syarikat melancarkan sekatan eksport besi ke Jepun. Setelah itu, Amerika Syarikat telah membekukan kesemua harta Jepun di seberang laut dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Jepun pada tahun 1941.
 Lebih malang lagi buat Jepun kerana Britain dan Belanda turut mengikuti tindakan Amerika Syarikat tersebut. Keadaan ini menyebabkan Jepun terpaksa membuat dua pilihan iaitu sama ada berundur dari Negara China dan menumpukan kegiatan dalam bidang ekonomi ataupun terpaksa berperang dengan kuasa-kuasa Barat. Akhirya, Jepun tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa memilih untuk berperang dengan kuasa-kuasa barat yang lain. Jepun telah memulakan langkah pertama dengan melancarkan serangan tentera ke Indo-China dan berjaya menguasainya pada bulan Disember 1941. Hal ni membuka peluang Jepun untuk menyerang Burma, Tanah Melayu dan Kepulauan Hindia Timur. 

Sunday, November 25, 2012

KEDUDUKAN ILMU SEJARAH



Pada mulanya wujud pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan sejarawan tentang kedudukan sejarah dalam cabang ilmu. Sesetengah sejarawan menganggap bahawa sejarah adalah sains, yang bersifat mutlak sepertimana unsur sains yang lain seperti matematik dan biologi. Manakala sesetengah sejarawan menganggap sejarah adalah satu bidang ilmu yang tergolong dalam kumpulan sains sosial, seperti sosiologi, antropologi, ekonomi dan politik. Pertikaian ini bermula pada abad ke-19, apabila sains yang mengkaji alam semula jadi telah digunakan dalam mengkaji hal ehwal manusia.
Sejarah mula dianggap sebagai kajian yang saintifik, dan ungkapan yang sangat popular oleh J.B Burry, yang mengatakan bahawa “sejarah itu adalah sains, tidak kurang atau lebih”. Maknanya sejarah adalah sebahagian daripada sains tulen ataupun sains yang tepat yang kebenarannya boleh diwujudkan melalui kaedah sains tersebut iaitu melalui pengamatan dan ujikaji. Dengan kata lain, kesimpulan sejarah sebagai sejarah sains adalah bersifat saintifik, yang mana boleh dikaji dan dipertahankan kebenarannya. Namun begitu, pandangan sejarawan yang menganggap sejarah adalah sains sosial tidak boleh dipertikaikan. Pemikiran sejarah sebagai bidang sains sosial wujud apabila sejarawan tidak dapat mengaitkan secara terus bidang ini dengan sains tulen. Dengan melihat sejarah itu dari sudut sosiologi, mereka sebenarnya beranggapan bahawa sejarah itu adalah sains sosial. Contoh sejarawan yang menyokong pandangan ini ialah  E.H Carr.
Sememangnya, menurut pandangan Karl Jasper “ hidup adalah satu warisan ilmu sejarah yang agung ” . AMaknanya, memang wujud satu perhubungan diantara sejarah dengan kehidupan manusia, tidak dapat dinafikan bahawa wujud unsur-unsur sains tulen di dalam sejarah, tapi sekuat manapun sejarawan membuktikannya sejarah tidak mungkin menjadi sains. Sejarah tidak dapat dikaji melalui kaedah sains tulen, iaitu melalui pengamatan dan juga ujikaji, kerana ia adalah melebihi bidangnya. Nash yang merumuskan pandangan Wilherm Diltney ( 1833-1911) dan Heinrich Richert ( 1863- 1936 ) mengatakan bahawa, “ sains semulajadi mendekati isi perkara dari luar ”
Ia menghuraikan ketepatan di alam itu, melalui pengamatan terhadap gejala yang semulajadi. Tetapi bagi sains kemanusian, isi perkara itu didapatkan oleh ahli sains sosial melalui cara yang tidak boleh dilakukan oleh ahli sains semulajadi. Misalnya, oleh kerana sejarawan mengkaji tindakan orang-orang lain, dia seolah-olah boleh mengetahui tindakan tersebut dari dalam. Apa yang dikatakan sains dari luar itu ialah sains adalah kajian yang objektif , iaitu melalui proses pengamatan dan ujikaji. Manakala dari dalam itu ialah sejarah bidang kajian yang mengandungi unsur-unsur yang subjektif dan relatif, iaitu mengkaji tindak tanduk manusia yang terbit dari perbuatan dan juga pemikiran manusia itu sendiri. Oleh itu, sejarah sememangnya dianggap sebagai sebahagian daripada sains sosial. Hal ini dapat dibuktikan, dengan merujuk kembali banding beza diantara kedua-dua unsur ilmu tersebut.

Saturday, November 24, 2012

Istilah Sejarah


Terdapat pelbagai pengertian yang diberikan oleh  para sejarawan berkaitan dengan istilah sejarah. Herodotus yang juga dikenali sebagai Bapa Sejarah telah menggunakan perkataan sejarah atau hiostoria dalam karyanya iaitu histories yang bermaksud penyelidikan atau penyiasatan terhadap segala peristiwa sejarah. Merujuk kepada kamus dewan, Sejarah bererti  sastera lama, asal-usul (keturunan, salasilah) peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah riwayat lampau; tawarikh. Manakala R.O Winstedt, yang telah menghasilkan kamusnya pula mengatakan sejarah berasal daripada perkataan arab, yang bermaksud salasilah, tawarikh, dan babad. Ibrahim Alfan mengatakan bahawa besar kemungkinan perkatan arab yang dikatakan oleh winstedt ialah syajaratun yang bererti pohon. Dari sudut bahasa inggeris pula, sejarah diertikan sebagai History yang pada asasnya berasal daripada perkataan yunani purba, iaitu histori yang bermaksud penyelidikan. 

Dalam memberi Pengertian sejarah, pendapat seseorang tokoh itu tidak boleh diterima seratus peratus. Malahan pengertian tentang perkataan sejarah itu turut menerima perubahan. Cald Well umpamanya mengatakan bahawa perkataan History (sejarah) yang berasal daripada perkatan yunani yang bermaksud penyelidikan itu telah berubah maksudnya menjadi peristiwa yang pernah berlaku pada masa lalu dan juga ingatan yang tercatat tentang masa lalu itu. Umumnya ialah, sejarah itu adalah masa lalu yang menurut Muhd. Yusof Ibrahim berupa semua pengalaman, tingkah laku keadilan serta peristiwa dalam kehidupan sesorang individu, pemimpin, sebuah institusi, pertubuhan, Negara mahupun masyarakat. Ianya mengandungi semua kejadian serta peristiwa dan pengalaman yang telah berlaku dan berlalu.

Usaha kecil



Selamat datang ke blog sejarah dan kita. Blog ini saya hasilkan untuk berkongsi maklumat, nota dan juga tips-tips belajar untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Semoga apa yang dikongsikan dalam blog ini bermanfaat dan dapat membantu. Bagi sesiapa yang ada maklumat tambahan, atau apa sahaja bahan untuk pembelajaran sejarah, jangan segan untuk berkongsi di sini. “kejayaan dicipta oleh orang biasa yang belajar secara luar biasa”.