sej

Wednesday, June 25, 2014

Langkah-langkah Menamatkan Darurat

British telah mengambil beberapa pendekatan untuk meredakan suasana tegang di Tanah Melayu. Langkah awal  British ialah mengerah kira-kira 40,000 orang tentera termasuk rejimen askar melayu dan askar Gurkha untuk menghapuskan komunis. Tentera ini dilengkapkan dengan peralatan ketenteraan seperti senapang, meriam,kapal terbang dan kapal laut.
Selain itu, polis British dan mata-mata gelap juga ditambah. British juga telah memperkenalkan Home Guard di kampung-kampung sebagai langkah persediaan sekiranya berhadapan dengan komunis. Malah bantuan ketenteraan dari pihak Negara-negara Komanwel turut diperoleh. Perkhidmatan Negara dan Polis Khas juga dibentuk.
Langkah seterusnya ialah menguatkuasakan perintah berkurung terutamanya di kawasan-kawasan yang disyaki berpengaruh komunis. Kawasan putih dan kawasan hitam telah dikenal pasti bagi memudahkan usaha membenteras komunis. Kawasan Putih (White Area) ialah kawasan yang bebas daripada pengaruh komunis dan Kawasan Hitam (Black Area) pula ialah kawasan yang berpengaruh atau berpotensi dipengaruhi oleh komunis.
Sekatan jalan raya  dan kawalan kampung juga dilaksanakan oleh Home Guard di kawasan yang berkemungkinan mudah dipengaruhi oleh komunis. Selain itu, kad pengenalan juga diperkenalkan dan diwajibkan kepada semua penduduk Tanah Melayu yang berusia 12 tahun ke atas bagi memudahkan pengenalan diri.
Langkah seterusnya ialah Rancangan Briggs. Rancangan Briggs diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs pada tahun 1950 sebagai langkah untuk menyekat bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada komunis. Penduduk berbangsa cina dipindahkan ke sebuah penempatan baru yang dikenali sebagai Kampung Baru. Langkah ini bertujuan supaya mereka tidak mudah diperas ugut oleh pihak komunis.
Kampung ini dikawal dengan ketat oleh pasukan keselamatan dan dipagar dengan kawat berduri. Penduduk kampung diberikan segala kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, tempat tinggal, bekalan elektrik dan air. Langkah ini ternyata berjaya dan menyekat pergerakan komunis daripada mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat. Undang-undang Darurat 1948 telah ditamatkan pada 31 Julai 1960. Implikasi utama darurat ialah mempercepatkan lagi proses kemerdekaan di Tanah Melayu.


No comments:

Post a Comment