sej

Wednesday, June 25, 2014

Langkah-langkah Menamatkan Darurat

British telah mengambil beberapa pendekatan untuk meredakan suasana tegang di Tanah Melayu. Langkah awal  British ialah mengerah kira-kira 40,000 orang tentera termasuk rejimen askar melayu dan askar Gurkha untuk menghapuskan komunis. Tentera ini dilengkapkan dengan peralatan ketenteraan seperti senapang, meriam,kapal terbang dan kapal laut.
Selain itu, polis British dan mata-mata gelap juga ditambah. British juga telah memperkenalkan Home Guard di kampung-kampung sebagai langkah persediaan sekiranya berhadapan dengan komunis. Malah bantuan ketenteraan dari pihak Negara-negara Komanwel turut diperoleh. Perkhidmatan Negara dan Polis Khas juga dibentuk.
Langkah seterusnya ialah menguatkuasakan perintah berkurung terutamanya di kawasan-kawasan yang disyaki berpengaruh komunis. Kawasan putih dan kawasan hitam telah dikenal pasti bagi memudahkan usaha membenteras komunis. Kawasan Putih (White Area) ialah kawasan yang bebas daripada pengaruh komunis dan Kawasan Hitam (Black Area) pula ialah kawasan yang berpengaruh atau berpotensi dipengaruhi oleh komunis.
Sekatan jalan raya  dan kawalan kampung juga dilaksanakan oleh Home Guard di kawasan yang berkemungkinan mudah dipengaruhi oleh komunis. Selain itu, kad pengenalan juga diperkenalkan dan diwajibkan kepada semua penduduk Tanah Melayu yang berusia 12 tahun ke atas bagi memudahkan pengenalan diri.
Langkah seterusnya ialah Rancangan Briggs. Rancangan Briggs diperkenalkan oleh Sir Harold Briggs pada tahun 1950 sebagai langkah untuk menyekat bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada komunis. Penduduk berbangsa cina dipindahkan ke sebuah penempatan baru yang dikenali sebagai Kampung Baru. Langkah ini bertujuan supaya mereka tidak mudah diperas ugut oleh pihak komunis.
Kampung ini dikawal dengan ketat oleh pasukan keselamatan dan dipagar dengan kawat berduri. Penduduk kampung diberikan segala kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, tempat tinggal, bekalan elektrik dan air. Langkah ini ternyata berjaya dan menyekat pergerakan komunis daripada mendapat bekalan makanan, ubat-ubatan dan maklumat. Undang-undang Darurat 1948 telah ditamatkan pada 31 Julai 1960. Implikasi utama darurat ialah mempercepatkan lagi proses kemerdekaan di Tanah Melayu.


Darurat (1948-1960)

Pengisytiharan darurat pada tahun 1946 adalah disebabkan oleh keadaan politik yang semakin meruncing ekoran kebangkitan golongan radikal melayu dan bukan melayu. Tambahan pula, gerakan komunis yang dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) semakin rancak dan diperhebatkan lagi oleh Rejimen ke-10 PKM (Pergerakan Komunis Malaya) serta kebangkitan golongan agama dalam menuntut kemerdekaan.
Hal ini telah memaksa British untuk memperkenalkan Akta Darurat 1948 dan menangkap golongan ini di kem tahanan politik British. Kemunculan parti-parti radikal di Tanah Melayu telah mula berkembang pada tahun 1946 dan dianggap sebagai parti berhaluan kiri kerana mereka memilih untuk berjuang menuntut kemerdekaan di bawah fahaman kebangsaan melayu yang lebih radikal.
Antaranya ialah PKM (Parti Komunis Malaya), PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), PETANI, API, AWAS, MDU dan Hizbul Muslimin.  PKM telah ditubuhkan pada 20 April 1930, sejak sebelum zaman pemerintahan Jepun lagi dan dikenali sebagai “Pasukan Bintang Tiga”.  Pengasas kepada kumpulan ini ialah Chin Peng.
Sewaktu pendudukan Jepun, PKM telah bekerjasama dengan  British untuk menghalau Jepun keluar dari Tanah Melayu disebabkan oleh layanan buruk tentera Jepun terhadap orang-orang Cina pada ketika itu. Mereka telah menubuhkan Malayan People Anty-Japanese Army (MPAJA) atau “ Tentera Rakyat Tanah Melayu Anti-Jepun. Mereka merupakan kumpulan “bawah tanah” yang menentang Jepun.
Setelah Jepun menyerah kalah, MPAJA atau PKM berniat untuk menubuhkan  Republik Komunis Malaya. Iaitu sebuah  kerajaan fahaman komunis di Tanah Melayu. Pada tahun 1948, PKM yang menentang Persekutuan Tanah Melayu telah melancarkan pemberontakan untuk menentang kerajaan. Pemberontakan bersenjata dan keganasan yang dilancarkan oleh PKM telah melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu.
PKMM pula ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 dan dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Perjuangan mereka berasaskan fahaman kebangsaan melayu, iaitu lebih fokus kepada konsep Melayu Raya. Antara objektif penubuhannya ialah mempersatukan bangsa melayu, menamatkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang melayu dan bertujuan menyatukan  Tanah Melayu dalam keluarga besar , iaitu Republik Indonesia Raya.
PKMM telah menubuhkan sayap pemuda dan wanitanya, iaitu API dan AWAS. Kemunculan kedua-dua parti ini benar-benar menunjukkan keradikalan mereka. Ketetapan dan ketegasan pergerakan API dinyatakan secara jelas oleh pemimpin mereka, Ahmad Boestaman dalam Testament politk API yang berbunyi: “Pendeknya API mahu berjuang untuk mencapai kemerdekaan bangsa dan tanah air dengan segala jalan yang terbuka, dengan lembut jika boleh,   keras jika terpaksa.”
Berdasarkan Testament Politik API ini, Ahmad Boestaman telah ditangkap dan didakwa di Mahkamh pada 31 Mac 1947. API dan AWAS juga telah diharamkan oleh British. PKMM serta parti-parti di bawanya telah menubuhkan PUTERA.  Manakala Malayan Demokratik Union (MDU) pula ditubuhkan pada Disember 1945 bermatlamat mengadakan tentangan yang diharapkan dapat mengimbangi sedikit pengaruh nasionalisme melayu supaya mereka tidak terhimpit dan tertekan.
Berikutan ini, maka lahirlah All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) pada 22 Disember 1946 yang diketuai oleh Tan Cheng Lock. Akhirnya AMCJA telah bergabung dengan PUTERA. Gabungan PUTERA dan AMCJA dan tuntutan mereka telah membimbangkan British kerana mampu menggugat mereka. Mereka juga bimbang kebangkitan rakyat yang disemarakkan golongan radikal melayu khususnya API, mampu membakar semangat barisan Pemuda UMNO.
Oleh itu, British telah mencari-cari peluang membolehkan mereka meghalalkan tindakan dan penangkapan dan pemenjaraan terhadap pemimpin golongan radikal melayu. Peristiwa pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah pada 16 Jun 1946 di sungai Siput, Perak oleh anggota komunis telah menjadi sebab utama pelaksanaan Akta Darurat 1948 ke atas golongan radikal yang memberikan masalah kepada British di Tanah Melayu.
Tragedi itu telah membawa kepada pengisytiharan darurat pada 18 Jun 1948 di seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Ramai tokoh radikal melayu ditangkap dan dipenjarakan. Antaranya ialah Ahmad Boestaman dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.  Pertubuhan politik radikal juga telah diharamkan. Tindakan British memperkenalkan Akta Darurat merupakan suatu tindakan yang telah mewujudkan political vacuum yang bertujuan menyekat proses kebangkitan golongan radikal melayu di Tanah Melayu.  
Semangat radikal tidak dapat dipadamkan walaupun British telah menguatkuasakan Akta Darurat 1948. Malahan, golongan radikal semakin kuat menentang British. Rejimen ke-10 PKM telah ditubuhkan di Pahang dan bergerak di seluruh negeri Pahang termasuk daerah Temerloh dan Kuala Lipis.
Rejimen ini merupakan sebuah pasukan tentera melayu yang dianggotai bekas ahli PKMM, API, AWAS, PETA Barisan Tani Malaya dan Pergerakan Buruh. Pelancaran gerakan bersenjata secara gerila memberikan tamparan hebat kepada British. Hal ini memaksa British mengubah strategi untuk meredakan keadaan.


Penentangan terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tidak memuaskan hati sebahagian besar rakyat Tanah Melayu. Beberapa buah pertubuhan seperti Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu (AMCJA) dan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) telah menetang Perlembagaan Persekutuan ini. Bantahan ini  juga dilakukan oleh parti-parti berhaluan kiri, kaum bukan melayu dan golongan progresif revolusiner. Golongan yang menentang ini mendakwa bahawa perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu hanya memperuntukkan kepentingan bagi orang-orang Melayu sahaja.
Selain itu, mereka juga merasa tidak puas hati kerana tidak dibawa berbincang ketika merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Tiada wakil daripada orang bukan melayu dalam Jawatankuasa yang menggubal Perlembagaan tersebut. Justeru itu, golongan parti berhaluan kiri dan orang-orang bukan melayu merasakan bahawa Perlembagaan itu bersifat “berat sebelah” dan tidak mewakili semua kaum di Tanah Melayu.
Oleh itu AMCJA telah menuntut supaya Perlembagaan tersebut dibatalkan. Sebaliknya, mereka membuat usul baru bagi Tanah Melayu. Salah satu usul ini ialah memasukkan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, mereka juga mahukan kuasa-kuasa kerajaan British di Tanah Melayu dikurangkan. Mereka juga mahu hak kewarganegaraan sama rata bagi semua kaum yang menjadikan Tanah Melayu tempat bermastautin dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi.
Tetapi cadangan dan usul ini tidak diambil kira oleh British kerana British beranggapan bahawa perjuangan mereka itu terlalu radikal. Oleh itu AMCJA telah bertindak balas dengan melakukan pelbagai penentangan. Antaranya ialah menulis surat untuk akhbar-akkbar seperti Neraca dan Warta Malaya serta mengadakan tunjuk perasaan di Pulau Pinang, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Singapura dan Kedah.
PKMM akhirnya menyertai AMCJA dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang terdiri daripada nukleus-nukleus PKMM iaitu API, AWAS, HIZBUL, GERAM dan 80 buah kesatuan kecil yang lain. PUTERA ditubuhkan pada Februari 1947. Antara matlamat dan tuntutan PUTERA ialah bahasa Melayu menjadi bahasa Rasmi Negara,  Hal ehwal luar negeri dan pertahanan negara harus menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Tanah Melayu dan Kerajaan British, warna-warna bendera kebangsaan harus menerapkan warna-warna kebangsaan Melayu, iaitu merah dan putih (Indonesia), istilah Melayu haruslah menjadi gelaran sebarang kewarganegaraan atau taraf nasional di Tanah Melayu.
 AMCJA dan PUTERA telah bersetuju untuk menggabungkan cadangan masing-masing dan membentuk perlembagaan baru iaitu Perlembagaan Rakyat. Namun begitu, British telah menolak Perlembagaan ini kerana bertentangan dengan dasar British yang mahu meneruskan penguasaannya terhadap Tanah Melayu. British juga tidak yakin akan kerjasama di antara AMCJA dan PUTERA.
Kesannya, pada Ogos 1948, Tan Cheng Lok yang merupakan Pengerusi AMCJA telah menganjurkan perjumpaan besar di Dewan Perniagaan Cina, kesatuan-kesatuan Sekerja dan lain-lain untuk menunjukkan protes dan bantahan terhadap British serta menganjurkan satu Hartal (penutupan semua kedai) di seluruh Tanah Melayu. Hartal ini telah Berjaya dilancarkan namun gagal untuk mempengaruhi Brtish sebaliknya dianggap sebagai perbuatan subversif. British tetap meneruskan Persekutuan tanah Melayu dengan satu-satunya parti yang menyokongnya iaitu UMNO.


Persekutuan Tanah Melayu

Malayan Union secara langsung telah membuka jalan kepada terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan dengan rasminya bagi menggantikan Malayan Union pada 1 Februari 1948.  Perjanjian ini penting kerana ia bukan sahaja memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah persekutuan buat pertama kali. Perlembagaan ini juga menjadi asas kepada perlembagaan Tanah Melayu sewaktu hendak mencapai kemerdekaan. Setelah mendapat persetujuan Raja Inggeris, perjanjian persekutuan itu telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu. 
Menurut peraturan-peraturan baru di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Kerajaan Persekutuan terdiri daripada seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh kerajaan British, sebuah Majlis Perundangan Persekutuan yang mengandungi 75 orang ahli dan sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan. Ketua Persekutuan ialah Pesuruhjaya Tinggi British dan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Perundangan Persekutuan. Pesuruhjaya Tinggi mempunyai kuasa mutlak bagi memelihara hak istimewa orang-orang melayu dan kepentingan kaum-kaum lain.
Sebuah Majlis Raja-raja  telah ditubuhkan untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi. Dalam masa yang sama, Raja-raja Melayu kekal sebagai pemerintah di negeri-negeri masing-masing. Sebuah Majlis Negeri telah ditubuhkan di setiap negeri dan Majlis Mesyuarat Negeri ini akan dipengerusikan oleh Sultan. Manakala Rang Undang-undang yang telah diluluskan oleh Majlis Negeri pula mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja Melayu. Majlis Negeri juga diberi kuasa meluluskan undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan adat istiadat Melayu.
Negeri-negeri melayu akan ditadbir oleh seorang ketua pentadbir yang bergelar Menteri Besar. Beliau akan dibantu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan jawatan ini dikhaskan hanya untuk orang melayu. Pembahagian juga berlaku di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan kedua-duanya mempunyai bidang tugas yang berbeza. Kerajaan Persekutuan mengendalikan hal ehwal kewangan, kehakiman, perdagangan, pertahanan dan luar negeri. Kerajaan Negeri pula akan mengendalikan Kerajaan Tempatan, hal ehwal agama, tanah, pertanian dan pendidikan.
Syarat-syarat kerakyatan juga diperketatkan. Pemohon kerakyatan mesti mengangkat sumpah mengaku taat setia, berkelakuan baik, dan berupaya bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan fasih. Selain itu, antara syarat lain untuk mendapatkan kewarganegaraan Persekutuan Tanah Melayu ialah lahir di Tanah Melayu dan menetap sekurang-kurangnya lapan tahun daripada 12 tahun sebelum permohonan atau seseorang yang berhijrah ke Tanah Melayu dan tinggal sekurang-kurangnya 15 tahun daripada tempoh 20 tahun  sebelum permohonan. Kerakyatan menerusi prinsip “Jus Soli” digugurkan sama sekali.
Sementara itu, orang melayu diakui sebagai penduduk asal Tanah Melayu dengan kedudukan istimewa dalam empat perkara iaitu keistimewaan dalam bidang politik dan jawatan dalam Perkhidmatan Awam, keistimewaan dalam biasiswa dan pelajaran, keistimewaan mengenai Tanah Simpanan Melayu dan keistimewaan dalam pemberian lesen untuk menjalankan perniagaan tertentu. Peruntukan perlembagaan yang begini adalah dianggap perlu kerana kedudukan orang melayu yang dalam keadaan bahaya dan jauh ketinggalan dalam semua bidang terutamanya dalam bidang ekonomi. Jadi satu-satunya yang masih ada dan perlu dikekalkan ialah kekuasaan politik untuk menjamin hak dan kedudukannya.
Oleh kerana syarat-syarat perlembagaan itulah yang menyebabkan orang-orang melayu menerima dan menyokong pembentukan Persekutuan Tanah  Melayu. Dalam hal ini kita dapat melihat bahawa meskipun British gagal menjadikan Tanah Melayu sebagai Tanah Jajahan di bawah Malayan Union, tetapi British berjaya menyatukan Sembilan buah Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat di bawah satu unit pentadbiran. Persekutuan Tanah Melayu terdiri dari Negeri-negeri Melayu, Melaka dan Pulau Pinang (Negeri Selat). Manakala Singapura pula menjadi tanah jajahan yang berasingan.