sej

Tuesday, December 4, 2012

Faktor Kejayaan Jepun Menakluki Tanah Melayu


6.1 Perang Dunia Kedua
Kejayaan Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dalam tempoh 70 hari sahaja didorong oleh pelbagai faktor. Perang Dunia Kedua yang meletus di Eropah menjadi pemangkin utama kepada kejayaan pihak Jepun tersebut. Pihak British bukan tidak menyedari kemungkinan bahawa pihak Jepun akan menyerang Tanah Melayu tetapi lebih menumpukan perhatian kepada peperangan yang meletus di Eropah lebih mendesak.  Pihak Britain yang mempunyai tanah jajahan di Afrika dan Asia telah diminta untuk membantu Rusia, Perancis dan Belanda apabila keadaan semakin terdesak. Hal ini menyebakan tanah jajahan di Asia Tenggara terutamanya Tanah Melayu terbiar dan membuka peluang kepada Jepun untuk menyerangnya. Pihak British juga tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Tanah Melayu. Pertahanan di Timur telah diserahkan kepada Amerika Syarikat yang berpengkalan di Pearl Habour, Hawaii. Kesan daripada pengeboman Jepun di Pearl Habour telah melumpuhkan terus pertahanan di Timur.
6.2 Sikap Pihak Barat
Selain itu, sikap pihak barat yang memandang rendah terhadap kemampuan Jepun menjadi salah satu faktor kejayaan Jepun.  Pihak British cukup yakin dengan kemampuan tentera laut dan udara mereka yang dianggap bahawa ianya boleh menandingi kekuatan tentera Jepun dengan mudah. Pihak British juga cukup yakin dengan adanya kedua-dua kapal perang mereka. Akibatnya apabila pihak Jepun dengan mudah menenggelamkan kapal-kapal tersebut, ianya telah mengaibkan British yang terkenal sebagai kuasa laut pada Perang Dunia Pertama.
6.3 Persediaan dan Perancangan Jepun
 Persediaan dan perancangan Jepun yang teratur juga menjadi pemangkin kepada kejayaan ini. Penubuhan unit Perisikan Khas berjaya mendapatkan maklumat kekuatan tentera Britsh di Tanah Melayu dan memudahkan pihak Jepun untuk merancang strategi. Selain perisik tempatan, Jepun juga menghantar orang Jepun sendiri ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk menjalankan pengintipan. Mereka telah menyamar dengan menjalankan pelbagai jenis pekerjaan seperti membuka kedai tukang gambar, kedai ikan peliharaan dan keda gula-gula. Mereka mengambil gambar bangunan, jalan raya, jambatan, mengkaji sungai-sungai dan jalan di dalam hutan dengan alasan untk mencari ikan untuk jualan. Semua maklumat ini digunakan oleh tentera Jepun untuk mengkaji kedudukan pertahanan Tanah Melayu sebelum memulakan serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu  British, landasan kapal terbang dan lokasi kem tentera telah diperoleh terlebih dahulu. Hal ini memudahkan serangan Jepun ke Tanah Melayu.
6.4 Penyebaran Dakyah anti-British
          Selain itu, Jepun juga, melalui Doro Nawa telah berjaya menyebarkan dakyah anti-British dalam kalangan askar-askar India yang berkhidmat dengan pasukan British di Tanah Melayu untuk meninggalkan perkhidmatan mereka. Jepun telah berjaya menarik orang India yang berkhidmat dengan  British untuk bekerjasama dengan Jepun. Seorang nasionalis radikal India, Subhas Chandara Bose telah datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai Indian National Army (INA) untuk membantu Jepun. Jepun juga berjanji untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Pihak Jepun juga berjaya mempengaruhi penduduk tempatan seperti golongan nasionalis radikal daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawa pimpinan Ibrahim Hj. Yaakob. Hal ini memudahkan penguasan Jepun di Tanah Melayu berjalan dengan lancar.
6.5 Kelengkapan Senjata Perang Jepun
Salah satu faktor juga ialah kelengkapan senjata pihak Jepun. Tentera Jepun telah memperkuatkan serangannya dengan mengadunkan kekuatan baik dari segi laut, udara mahupun darat. Angkatan udara Jepun telah mengambil kira jarak dan sasaran, dari pengkalan-pengkalan baru mereka di Indo-China seterusnya telah menggunakan kapal terbang pejuang yang dianggap lebih moden daripada pihak British. Pesawat pejuang ini juga memberikan perlindungan kepada pesawat pengebom untuk memusnahkan instalasi penting British termasuk yang berada di pedalaman. Begitu juga dengan bantuan perlindungan rapat kepada pesawat-pesawat pengangkut dan logistik. Mereka juga dibantu dengan tembakan meriam daripada kapal-kapal pemusnah Jepun yang berlabuh dekat pantai untuk melemahkan pertahanan utama British di sekitar landasan kapal terbang Pengkalan Chepa. Secara kesuruhannya, kekuatan tentera Jepun diperkuat sepenuhnya dengan persenjataan, kelengkapan, bekalan peluru, makanan dan ubat-ubatan.
 6.6 Kelemahan Tentera British
Kelemahan tentera British dan kekurangan kelengkapan senjata perang juga menjadi faktor kekalahan British di tangan Jepun. Pasukan tentera British yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura kurang terlatih dan berpengalaman. Mereka juga bukan berasal dari kalangan satu bangsa atau terdiri daripada orang tempatan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendorong mereka untuk berperang bersungguh-sungguh. Kelewatan tentera bantuan dari London dan India juga merumitkan lagi keadaan. Kelewatan ini berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh kerajaan British.
 Kekurangan kelengkapan senjata perang juga memudahkan Jepun untuk menewaskan British. Pihak British hanya bergantung kepada dua buah kapal perangnya iaitu kapal Prince of Wales dan Repulse untuk menjaga peraiaran Tanah Melayu. Apabila pihak Jepun berjaya menenggelamkan kedua-dua kapal tersebut, tentera Jepun mengusai sepenuhnya kawalan sekitar perairan Tanah Melayu. Keadaan di pengkalan laut juga tidak memuaskan. Pengkalan laut di Singapura hanya disiapkan pada tahun 1938 dan tidak digunakan sepenuhnya kerana tidak ada kapal laut yang dihantar oleh kerajaan British. Dari segi pertahanan udara, ruang angkasa Tanah Melayu dikawal oleh beberapa ratus pesawat udara sahaja dan tidak begitu baik jika dibandingkan dengan kemampuan kapal terbang Jepun. Kekuatan pertahanan British juga hanya bergantung kepada tiga pasukan tentera iaitu Pasukan ke-8, Pasukan ke-9  (Australia) dan Pasukan ke-11 (India) dengan jumlah tentera seramai 89 000 orang berbanding dengan tentera Jepun seramai 150 000 orang.
Pihak British juga kalah di tangan Jepun disebabkan mereka kurang bersedia. Pihak British menyangka Jepun akan  memulakan serangan dari arah selatan  (Singapura) kerana pusat pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara (Kelantan) dan menakluk negeri-negeri Melayu satu demi satu. Oleh itu,semasa serangan Jepun, semua meriam dan senapang telah dihalakan ke laut. Kemaraan Jepun dari utara sememangnya di luar jangkaan British.
6.7 Semangat Juang yang Tinggi
Faktor yang tidak kurang pentingnya juga ialah unsur moral dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan tentera Jepun. Pihak Jepun bukan sahaja memiliki kekuatan dari segi bilangan tetapi mereka sangat terlatih dan mempunyai semangat juang dan disiplin yang tinggi. Tentera Jepun di samping bermoral tinggi dan bersemangat juga menganggap perjuangan mereka itu adalah perjuangan suci bagi Negara dan Maharaja.

5 comments: