sej

Sunday, November 25, 2012

KEDUDUKAN ILMU SEJARAH



Pada mulanya wujud pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan sejarawan tentang kedudukan sejarah dalam cabang ilmu. Sesetengah sejarawan menganggap bahawa sejarah adalah sains, yang bersifat mutlak sepertimana unsur sains yang lain seperti matematik dan biologi. Manakala sesetengah sejarawan menganggap sejarah adalah satu bidang ilmu yang tergolong dalam kumpulan sains sosial, seperti sosiologi, antropologi, ekonomi dan politik. Pertikaian ini bermula pada abad ke-19, apabila sains yang mengkaji alam semula jadi telah digunakan dalam mengkaji hal ehwal manusia.
Sejarah mula dianggap sebagai kajian yang saintifik, dan ungkapan yang sangat popular oleh J.B Burry, yang mengatakan bahawa “sejarah itu adalah sains, tidak kurang atau lebih”. Maknanya sejarah adalah sebahagian daripada sains tulen ataupun sains yang tepat yang kebenarannya boleh diwujudkan melalui kaedah sains tersebut iaitu melalui pengamatan dan ujikaji. Dengan kata lain, kesimpulan sejarah sebagai sejarah sains adalah bersifat saintifik, yang mana boleh dikaji dan dipertahankan kebenarannya. Namun begitu, pandangan sejarawan yang menganggap sejarah adalah sains sosial tidak boleh dipertikaikan. Pemikiran sejarah sebagai bidang sains sosial wujud apabila sejarawan tidak dapat mengaitkan secara terus bidang ini dengan sains tulen. Dengan melihat sejarah itu dari sudut sosiologi, mereka sebenarnya beranggapan bahawa sejarah itu adalah sains sosial. Contoh sejarawan yang menyokong pandangan ini ialah  E.H Carr.
Sememangnya, menurut pandangan Karl Jasper “ hidup adalah satu warisan ilmu sejarah yang agung ” . AMaknanya, memang wujud satu perhubungan diantara sejarah dengan kehidupan manusia, tidak dapat dinafikan bahawa wujud unsur-unsur sains tulen di dalam sejarah, tapi sekuat manapun sejarawan membuktikannya sejarah tidak mungkin menjadi sains. Sejarah tidak dapat dikaji melalui kaedah sains tulen, iaitu melalui pengamatan dan juga ujikaji, kerana ia adalah melebihi bidangnya. Nash yang merumuskan pandangan Wilherm Diltney ( 1833-1911) dan Heinrich Richert ( 1863- 1936 ) mengatakan bahawa, “ sains semulajadi mendekati isi perkara dari luar ”
Ia menghuraikan ketepatan di alam itu, melalui pengamatan terhadap gejala yang semulajadi. Tetapi bagi sains kemanusian, isi perkara itu didapatkan oleh ahli sains sosial melalui cara yang tidak boleh dilakukan oleh ahli sains semulajadi. Misalnya, oleh kerana sejarawan mengkaji tindakan orang-orang lain, dia seolah-olah boleh mengetahui tindakan tersebut dari dalam. Apa yang dikatakan sains dari luar itu ialah sains adalah kajian yang objektif , iaitu melalui proses pengamatan dan ujikaji. Manakala dari dalam itu ialah sejarah bidang kajian yang mengandungi unsur-unsur yang subjektif dan relatif, iaitu mengkaji tindak tanduk manusia yang terbit dari perbuatan dan juga pemikiran manusia itu sendiri. Oleh itu, sejarah sememangnya dianggap sebagai sebahagian daripada sains sosial. Hal ini dapat dibuktikan, dengan merujuk kembali banding beza diantara kedua-dua unsur ilmu tersebut.

No comments:

Post a Comment