Setelah mengusai Tanah Melayu, Jepun telah mentadbir Tanah Melayu dengan sistem
pemerintahan yang bercirikan sistem ketenteraan yang berpusat di Singapura.
Pentadbiran tentera berada di bawah tanggungjawab Mejar General Manaki Keishi
dan urusan pentadbirannya dilakukan oleh Kolonel Watanabe Wataru. Satu
pentadbiran pusat ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Presiden (Gunseikan)
yang bertanggungjawab kepada Ketua Kepala Agung Tentera, Kawasan Ketujuh di
Singapura. Tanah Melayu dan Singapura disatukan dalam satu unit politik. Pada
waktu itu Jepun telah menukar nama Singapura kepada Syonan yang bermaksud
Cahaya Selatan dan Tanah Melayu sebagai Malai Baru dan dibahagikan kepada lapan
wilayah dengan diketuai oleh seorang Gabenor Jepun (Syuchokan) yang bertanggungjawab
kepada pentadbiran pusat di Singapura.
Gabenor
Jepun akan dibantu oleh Majlis Wilaya (Penasihat) yang bertujuan untuk
menggantikan Majlis Mesyuarat Negeri. Sebilangan kecil orang melayu
menganggotai Majlis ini dan sebilangan besar adalah Jepun sendiri. Penguasaan
kerajaan Jepun dalam sistem pentadbiran di Tanah Melayu diperkuatkan dengan
kehadiran ketua-ketua tentera dan awam dalam semua jabatan kerajaan.
Namun begitu, kakitangan dalam kalangan penduduk tempatan dikekalkan.
Pentadbiran Tanah Melayu dibahagikan kepada tiga bahagian. Negeri-negeri utara
dan pantai timur iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dipisahkan dan
diserahkan kepada kerajaan Siam pada bulan Ogos 1943. Manakala negeri Perak,
Selangor, dan Negeri Sembilan pada mulanya disatukan dalam satu unit
pentadbiran tetapi kemudiannya telah dipisahkan pentadbiran kedua-dua wilayah
ini pada bulan April 1943. Sementara Melaka dan Pulau Pinang disatukan
dengan Singapura yang bertanggungjawab secara langsung kepada kerajaan Jepun di
Tokyo.
Tujuan
Jepun memisah-misahkan pentadbiran negeri-negeri melayu adalah disebabkan
kebimbangan Jepun terhadap penyatuan tenaga dan membentuk satu pasukan
menentang Jepun. Jepun juga membahagikan daerah kepada beberapa kawasan kecil
yang terdiri daripada unit-unit kampung, jiran tetangga dan keluarga untuk
memudahkan pentadbiran. Setiap keluarga diwajibkan untuk didaftarkan dan diberi
sekeping sijil yang dikenali sebagai “Sijil Kehidupan dan Keamanan”. Pindaan
dilakukan jika berlaku kelahiran, kematian ataupun perkahwinan. Jepun juga
mengekalkan pentadbiran yang diamalkan oleh Britsh secara tidak langsung. Namun
begitu, Jepun mengamalkan dasar memusuhi Cina dan India pula digalakkan
melibatkan diri dalam gerakan menuntut kemerdekaan.
7.1 Layanan Terhadap Orang Melayu
Pada bulan
Ogos 1942, kerajaan Jepun di Tokyo mengeluarkan arahan supaya pemerintahan
Jepun di Tanah Melayu supaya berhati-hati melayani raja-raja melayu. Pada bulan
Januari 1943, Jepun telah mengadakan satu persidangan yang dihadiri oleh
kesemua raja-raja dari Tanah Melayu dan Sumatera di Singapura. Jepun
mengumumkan keputusannya untuk mengikitraf kuasa dan kedudukan raja-raja
Melayu. Elaun mereka juga dibayar dan dibenarkan menyimpan harta. Dalam hal
ini, Jepun beranggapan bahawa orang melayu tidak akan bangkit menentang Jepun
sekiranya raja-raja mereka diberikan layanan yang baik. Jepun juga meraih
sokongan orang-orang melayu dari segi agama. Pada bulan Disember 1944, Jepun
telah menganjurkan satu Persidangan Majlis Agung Agam Islam di Tanah Melayu-
Sumatera di Singapura. Namu begitu, Jepun tetap menolak cadangan untuk
menubuhkan sebuah Majlis Orang Islam (Muslim Council) bagi mengelakkan
penentangan. Namun, Jepun bersetuju untuk menubuhkan Majlis Agama di peringkat
negeri.
7.2 Layanan Terhadap Orang Cina
Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu
telah mengamalkan dasar anti-cina dan menganggap orang cina sebagai musuh
tradisi. Hasilnya, Jepun telah memberikan layanan yang buruk kepada orang-orang
cina di Tanah Melayu. Pembunuhan dan keganasan terhadap orang cina berlaku
hampir setiap hari. Jika ada orang cina yang menentang Jepun akan dikenakan
hukuman yang teruk seperti pancung atau diseksa dan harta benda dirampas.
Selain itu, Jepun juga turut mengadakan operasi sapu bersih bagi
menangkap orang-orang cina yang melakukan penentangan terhadap Jepun. Operasi
itu dikenali sebagai “ Operasi Sook Ching” (perintah berkurung). Manakala
golongan sasarannya pula ialah penyokong Kuomintong dan Komunis yang aktif,
mereka yang menyertai pasukan sukarela dan masih belum menyerah diri, orang
cina yang bergiat dalam Tabung Menyelamatkan Negara China dan hartawan cina
yangt memberikan sumbangan kepada tabung tersebut, ahli-ahli kongsi gelap dan
orang-orang cina yang datang ke Tanah Melayu selepas Perang China-Jepun 1937.
Orang cina juga dipaksa
membayar cukai kepala, dihalang untuk menghantar balik wang ke China dan
dikenakan sekatan keluar rumah di kawasan yang disyaki terdapat sarang komunis.
Lebih malang lagi, orang cina dipaksa untuk menderma sebanyak $50 juta kepada
pemerintah Jepun. Jepun menetapkan derma tersebut harus diserahkan pada
20 April 1942. Bagi mengumpul jumlah tersebut, tauke lombong akan melakukan apa
sahaja termasuk menjual harta benda mereka dengan murah. Walaubagai manapun,
dasar keras Jepun terhdap orang cina telah berkurangan menjelang tahun 1943.
Tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan kerjasama orang cina dan terutamanya
dari segi ekonomi dan mengurangkan sokongan mereka terhadap pihak komunis dan
MPAJA. Permusuhan antara Jepun dan orang-orang cina ini sebenarnya merupakan
lanjutan daripada pergolakan yang berlaku di China dan Jepun sehingga
meletusnya Perang China-Jepun 1937.
7.3 Sistem Ekonomi Jepun
Jepun telah memperkenalkan sistem
ekonomi terkawal di Tanah Melayu. Melalui sistem ini, Jepun tidak
membenarkan kegiatan perdagangan dijalankan sama ada mengeksport barangan ke
Eropah atau Amerika Syarikat dan membeli barangan dari luar. Maka dengan itu,
Jepun telah menggalakkan pertumbuhan industri tempatan bagi memenuhi permintaan
dalam negeri. Dalam industri tempatan ini, hampir kesemua barangan yang
dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan kerana Jepun dalam
pentadbirannya tidak membenarkan import barangan atau bahan mentah daripada
luar Negara. Industri yang dijalankan hanya dalam bentuk kecil-kecilan sahaja
seperti makanan, minyak jentera, pengangkutan, perubatan, pakaian ,rokok, arak,
sabun dan barangan keperluan tentera.
Pemerintahan Jepun juga
mengamalkan dasar monopoli dengan menguasai perusahaan penting dalam negeri
menerusi beberapa buah syarikat yang dimilikinya. Selain itu, Jepun turut
merampas semua kegiatan ekonomi yang dimiliki oleh orang cina dan Eropah
seperti perusahaan perlombongan, perdagangan, pengangkutan dan bank
perdagangan. Ladang kelapa sawit dan kelapa pula dikuasai oleh kumpulan Mitsui.
Perusahaan getah pada waktu itu pula tidak berkembang kerana kegiatan eksport
tidak dijalankan dan ditebang untuk penananman tanaman yang menghasilkan
makanan. Beras yang menjadi makanan penduduk Tanah Melayu pula dikawal oleh
Mitsui Shoji Kaisha manakala gula dan garam pula dikawal oleh Mitsui Bussan
Kabushiki Kaisha. Halangan dan sekatan mengeksport bahan mentah
menyebabkan bukan sahaja dua perusahaan penting di Tanah Melayu iaitu getah dan
bijih timah terbiar tanpa diusahakan tetapi keadaan ekonomi Negara juga turut
merosot.