sej

Wednesday, November 28, 2012

Serangan Jepun ke Atas Tanah Melayu


Serangan Jepun ke Tanah Melayu dilancarkan serentak dengan serangan ke atas Pearl Harbour. Serangan ini diketuai oleh Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki selaku pemerintah pasukan tentera ke-25, Sosako Suzuki sebagai pembantu kanannya dan Timbalan Laksamana Jisaburo Ozawa sebagai pemerintah operasi laut. Bagi memastikan serangan ke Tanah Melayu mencapai kejayaan, Jepun telah membahagi-bahagikan tenteranya kepada beberapa Divisyen. Organisasi yang diatur adalah berkonsepkan “The Square Divisyen” yang mana setiap Divisyen mempunyai dua Briged. Sementara setiap Briged mempunyai dua Rejimen yang dikenali sebagai  Kumpulan Infantri (Infantry Group). Setiap Rejimen pula akan disokong oleh sebuah Batalion Infantri dan satu unit Jurutera yang berkuatan satu Kompeni.  Pasukan tentera ke-25 mempunyai tiga Divisyen infantry iaitu Divisyen ke-5, Divisyen ke-18 dan Divisyen Pengawal Imperial yang mengandungi 50,000 orang, kereta kebal sederhana 80 buah, kereta kebal kecil 100 buah dan sebuah pasukan meriam yang kuat. Divisyen ke-4 diletakkan sebagai pasukan simpanan dan dianggarkan memiliki 80,000 ribu askar penggempur.
Pasukan udaranya pula memiliki 450 buah kapal terbang dan tentera laut mempunyai dua buah kapal terbang tentera laut (Mohammad Isa Othman,1992). Pesawat udara yang digunakan adalah dari jenis Mistsubishi Type O, yang dikenali sebagai Zero atau Zeke. Pesawat ini mempunyai kelajuan 351 batu sejam dan boleh mencapai had ketinggian 33, 000 ribu kaki. Pesawat pengebom pula digelar “ The Val, The Kate dan The Betty”. Manakala bagi tujuan pengintipan, pesawat jenis Reconniessaince 100 Type digunakan. Bagi tentera laut, Jepun memiliki berkaliber 14 inci dan 18 inci sementara kapal yang dinamakan “Marus” digunakan sebagai kapal pengangkutan. Jepun juga menubuhkan pasukan “Mountain Unit” iaitu pasukan yang berkemahiran dalam teknik-teknik mendaki gunung serte melincur ais. Perlatan khusus termasuk artileri ringan dibekalkan bagi kumpulan ini untuk membantu dalam operasi di kawasan pergunungan.  Selain itu, sebuah unit penggempur khas ditubuhkan yang dinamakan “ Takko Unit”. Unit ini berfungsi sebagai kumpulan penggempur dan bersedia untuk semua tugas ofensif. Kumpulan ini juga boleh dikatakan sebagai kumpulan berani mati kerana mempunyai daya juang yang tinggi dan bersedia untuk membunuh diri jika keadaan terdesak.
 Serangan ke atas Tanah Melayu dilakukan dari tiga arah iaitu di Pattani, Siam dan Kota Bahru. Divisyen ke-5 di bawa pimpinan Leftenan Jeneral Takoro Matsui diarah untuk mendarat di Songkhla dan Pattani. Pasukan ini kemudiannya akan mara ke Kedah dan Perlis serta ke selatan dengan memasuki negeri-negeri di pantai barat iaitu Perak, Selangor , Negeri Sembilan,Johor dan akhirnya ke Singapura. Divisyen Pengawal Imperial yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Takuma Noshimura juga mendarat di Siam. Pasukan ini diarah menyusul dari belakang Divisyen ke-5 sebagai pasukan simpanan dan bergabung dengan Divisyen ke-5 di Perak, sebelum mara ke selatan. Divisyen ke-18 di bawa pimpinan Leftenan Jeneral Mtaguchi akan mendarat di Kota Bahru, Kelantan dan kemudiaanya bergerak ke Terengganu, Pahang, Johor dan akhirnya Singapura (Mohamad Isa Othman,1992). Serangan jepun ke Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 dengan pendaratan Divisyen ke-18 di Kota Bahru, Kelantan. Pendaratan pertama dilakukan pada jam 12.25 pagi melalui muara sungai Pengkalan Chepa( Kuala Pak Amat) oleh Kompeni ke-11, Rejimen 56.  Pegawai Pemerintah British di Tanah Melayu telah mengkhabarkan berita pendaratan tentera Jepun di Kota Bahru kepada Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Shenton Thomas kira-kira satu setengah jam kemudian (1.55 pagi).
Divisyen ke-5 tentera Jepun  juga mendarat di Singora (Songkhla) pada hari yang sama. Pasukan ini diarah mara ke selatan dengan menggunakan dua jalan iaitu dari Singora ke Alor Star dan dari Pattani ke Kroh. Selepas mendarat di utara dan pantai timur, tentera Jepun telah mara ke selatan sehingga ke johor Bahru tanpa menghadapi tentangan daripada tentera Pihak Berikat. Pada 8 Februari 1942, tentera Jepun telah mendarat di Singapura pada kira-kira jam 8.45 malam. Namun begitu, serangan tentera Jepun ini telah mendapat tentangan daripada barisan pertahanan Briged Infantri India ke-44 dab Briged Australia ke-2. Menjelang awal pagi pada 15 Februari 1942, seluruh Tanah Melayu  termasuk Singapura telah berjaya ditawan oleh tentera Jepun. Leftenan Genaral Athur Ernest Percival memutuskan untuk menyerah diri secara rasmi kepada Pemerintah Tentera Jepun iaitu Lefenan Jeneral Tomoyuki Yamashita bersama-sama dengan 60,000 orang tentera British yang masih lagi tinggal pada jam 7.50 malam bertempat di Ford Plant, Bukit Timah, Singapura. Penyerahan diri ini menunjukkan bahawa bermulanya pemerintahan Jepun ke atas Tanah Melayu. Jelas bahawa hanya dalam tempoh 70 hari sahaja, tentera Jepun telah berjaya menguasai Tanah Melayu.

Tuesday, November 27, 2012

Latar Belakang Pendudukan Jepun di Tanah Melayu


Pada mulanya, Jepun merupakan sebuah Negara yang mengamalkan dasar Isolasi sehinggalah pada abad ke-18. Namun demikian, setelah kedatangan  Commodare Matthew C. Perry dari Amerika syarikat pada tahun 1853, Jepun mulai mengadakan hubungan luar dengan kuasa barat.  Hal ini telah membuka peluang kepada kuasa-kuasa barat yang lain seperti British, Perancis dan Belanda datang ke Jepun sekaligus menyebabkan Jepun mengubah dasarnya daripada dasar pintu tertutup kepada dasar pintu terbuka. Menurut Tarling (2001), Jepun merupakan sebuah Negara yang mempunyai penduduk yang ramai manakala kawasan tanahnya pula kurang sesuai untuk aktiviti pertanian. Hal ini menyebabkan Jepun menjadikan negaranya daripada Negara pertanian kepada Negara perindustrian.  Maka Jepun terpaksa memperoleh bahan mentah dan pasaran bagi bahan yang dihasilkan. Oleh itu, Jepun telah memperbesarkan angkatan tenteranya untuk memastikan dasar perluasan kuasanya dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada akhir abad ke-19, Rusia telah menjadi kuasa besar yang menjadi saingan kepada Jepun. Persaingan ini adalah disebabkan oleh perebutan dua wilyah iaitu Manchuria dan Korea. Pada waktu itu, kedua-dua wilayah ini berada dalam kawasan wilayah Negara China tetapi Negara China tidak dapat menentang kuasa Jepun dan Rusia kerana kedudukannya yang lemah akibat pemberontakan dalam negeri.  Dalam peperangan China-Jepun, Jepun telah berjaya mengusir kekuasaan China di Korea. Malah Jepun juga berjaya  menguasai Taiwan, kepulauan Pescardores dan menamatkan kedaulatan China di Manchuria.  Jepun juga berjaya menamatkan ancaman Rusia di Manchuria pada tahun 1904-05. Machuria sangat penting kepada Jepun pada waktu itu sebagai sumber ekonomi. Golongan nasionalis di China telah menubuhkan sebuah parti bersatu bagi menentang pencerobohan Jepun di kawasan takluknya. Hal ini mencemaskan Jepun lalu bertindak menyerang  China terlebih dahulu.
 Pada bulan  November 1935,  Jepun memaksa lima buah wilayah di utara China menubuhkan pemerintahan autonomi di bawah kawalan Jepun. Dasar perluasan kuasa Jepun ini telah menyebabkan hubungan antara Jepun dan British semakin meruncing. Pada tahun 1936, Jepun membuat pakatan dengan Jerman dibawa Hilter dan Itali dibawa Mussolini. Kedudukan Britain yang semakin lemah membuka peluang untuk Jepun untuk meluaskan pengaruhnya di kawasan selatan China tanpa halangan daripada mana-mana kuasa barat. Ini melibatkan pengusaan Jepun terhadap Canton, Pulau Hianan dan Kepulauan Sinnan.
Sewaktu Perang Dunia Kedua meletus, Jepun mengambil kesempatan untuk meneruskan dasar perluasan kuasannya  di Asia. Pada bulan September 1940, Jepun telah Berjaya menguasai bahagia utara Indo-china Perancis. Hal ini telah membimbangkan Amerika Syarikat. Oleh itu persidangan Washington pada 1921 telah diadakan. Persidangan ini telah menghadkan kuasa angkatan laut Jepun dengan kadar tiga bagi Jepun dan lima bagi Amerika Syarikat dan Britain. Tapi ketetapan ini tidak melemahkan Jepun. Seterusnya mendorong kepada Amerika Syarikat melancarkan sekatan eksport besi ke Jepun. Setelah itu, Amerika Syarikat telah membekukan kesemua harta Jepun di seberang laut dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Jepun pada tahun 1941.
 Lebih malang lagi buat Jepun kerana Britain dan Belanda turut mengikuti tindakan Amerika Syarikat tersebut. Keadaan ini menyebabkan Jepun terpaksa membuat dua pilihan iaitu sama ada berundur dari Negara China dan menumpukan kegiatan dalam bidang ekonomi ataupun terpaksa berperang dengan kuasa-kuasa Barat. Akhirya, Jepun tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa memilih untuk berperang dengan kuasa-kuasa barat yang lain. Jepun telah memulakan langkah pertama dengan melancarkan serangan tentera ke Indo-China dan berjaya menguasainya pada bulan Disember 1941. Hal ni membuka peluang Jepun untuk menyerang Burma, Tanah Melayu dan Kepulauan Hindia Timur. 

Sunday, November 25, 2012

KEDUDUKAN ILMU SEJARAH



Pada mulanya wujud pertelingkahan yang berlaku dalam kalangan sejarawan tentang kedudukan sejarah dalam cabang ilmu. Sesetengah sejarawan menganggap bahawa sejarah adalah sains, yang bersifat mutlak sepertimana unsur sains yang lain seperti matematik dan biologi. Manakala sesetengah sejarawan menganggap sejarah adalah satu bidang ilmu yang tergolong dalam kumpulan sains sosial, seperti sosiologi, antropologi, ekonomi dan politik. Pertikaian ini bermula pada abad ke-19, apabila sains yang mengkaji alam semula jadi telah digunakan dalam mengkaji hal ehwal manusia.
Sejarah mula dianggap sebagai kajian yang saintifik, dan ungkapan yang sangat popular oleh J.B Burry, yang mengatakan bahawa “sejarah itu adalah sains, tidak kurang atau lebih”. Maknanya sejarah adalah sebahagian daripada sains tulen ataupun sains yang tepat yang kebenarannya boleh diwujudkan melalui kaedah sains tersebut iaitu melalui pengamatan dan ujikaji. Dengan kata lain, kesimpulan sejarah sebagai sejarah sains adalah bersifat saintifik, yang mana boleh dikaji dan dipertahankan kebenarannya. Namun begitu, pandangan sejarawan yang menganggap sejarah adalah sains sosial tidak boleh dipertikaikan. Pemikiran sejarah sebagai bidang sains sosial wujud apabila sejarawan tidak dapat mengaitkan secara terus bidang ini dengan sains tulen. Dengan melihat sejarah itu dari sudut sosiologi, mereka sebenarnya beranggapan bahawa sejarah itu adalah sains sosial. Contoh sejarawan yang menyokong pandangan ini ialah  E.H Carr.
Sememangnya, menurut pandangan Karl Jasper “ hidup adalah satu warisan ilmu sejarah yang agung ” . AMaknanya, memang wujud satu perhubungan diantara sejarah dengan kehidupan manusia, tidak dapat dinafikan bahawa wujud unsur-unsur sains tulen di dalam sejarah, tapi sekuat manapun sejarawan membuktikannya sejarah tidak mungkin menjadi sains. Sejarah tidak dapat dikaji melalui kaedah sains tulen, iaitu melalui pengamatan dan juga ujikaji, kerana ia adalah melebihi bidangnya. Nash yang merumuskan pandangan Wilherm Diltney ( 1833-1911) dan Heinrich Richert ( 1863- 1936 ) mengatakan bahawa, “ sains semulajadi mendekati isi perkara dari luar ”
Ia menghuraikan ketepatan di alam itu, melalui pengamatan terhadap gejala yang semulajadi. Tetapi bagi sains kemanusian, isi perkara itu didapatkan oleh ahli sains sosial melalui cara yang tidak boleh dilakukan oleh ahli sains semulajadi. Misalnya, oleh kerana sejarawan mengkaji tindakan orang-orang lain, dia seolah-olah boleh mengetahui tindakan tersebut dari dalam. Apa yang dikatakan sains dari luar itu ialah sains adalah kajian yang objektif , iaitu melalui proses pengamatan dan ujikaji. Manakala dari dalam itu ialah sejarah bidang kajian yang mengandungi unsur-unsur yang subjektif dan relatif, iaitu mengkaji tindak tanduk manusia yang terbit dari perbuatan dan juga pemikiran manusia itu sendiri. Oleh itu, sejarah sememangnya dianggap sebagai sebahagian daripada sains sosial. Hal ini dapat dibuktikan, dengan merujuk kembali banding beza diantara kedua-dua unsur ilmu tersebut.

Saturday, November 24, 2012

Istilah Sejarah


Terdapat pelbagai pengertian yang diberikan oleh  para sejarawan berkaitan dengan istilah sejarah. Herodotus yang juga dikenali sebagai Bapa Sejarah telah menggunakan perkataan sejarah atau hiostoria dalam karyanya iaitu histories yang bermaksud penyelidikan atau penyiasatan terhadap segala peristiwa sejarah. Merujuk kepada kamus dewan, Sejarah bererti  sastera lama, asal-usul (keturunan, salasilah) peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah riwayat lampau; tawarikh. Manakala R.O Winstedt, yang telah menghasilkan kamusnya pula mengatakan sejarah berasal daripada perkataan arab, yang bermaksud salasilah, tawarikh, dan babad. Ibrahim Alfan mengatakan bahawa besar kemungkinan perkatan arab yang dikatakan oleh winstedt ialah syajaratun yang bererti pohon. Dari sudut bahasa inggeris pula, sejarah diertikan sebagai History yang pada asasnya berasal daripada perkataan yunani purba, iaitu histori yang bermaksud penyelidikan. 

Dalam memberi Pengertian sejarah, pendapat seseorang tokoh itu tidak boleh diterima seratus peratus. Malahan pengertian tentang perkataan sejarah itu turut menerima perubahan. Cald Well umpamanya mengatakan bahawa perkataan History (sejarah) yang berasal daripada perkatan yunani yang bermaksud penyelidikan itu telah berubah maksudnya menjadi peristiwa yang pernah berlaku pada masa lalu dan juga ingatan yang tercatat tentang masa lalu itu. Umumnya ialah, sejarah itu adalah masa lalu yang menurut Muhd. Yusof Ibrahim berupa semua pengalaman, tingkah laku keadilan serta peristiwa dalam kehidupan sesorang individu, pemimpin, sebuah institusi, pertubuhan, Negara mahupun masyarakat. Ianya mengandungi semua kejadian serta peristiwa dan pengalaman yang telah berlaku dan berlalu.

Usaha kecil



Selamat datang ke blog sejarah dan kita. Blog ini saya hasilkan untuk berkongsi maklumat, nota dan juga tips-tips belajar untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Semoga apa yang dikongsikan dalam blog ini bermanfaat dan dapat membantu. Bagi sesiapa yang ada maklumat tambahan, atau apa sahaja bahan untuk pembelajaran sejarah, jangan segan untuk berkongsi di sini. “kejayaan dicipta oleh orang biasa yang belajar secara luar biasa”.